Rabu, 17 Oktober 2012

MASIH ADAKAH IKAN DI PULAU PINANG?

ini hari wa mau celita pasal anglers mode (kaki pancing) ala...pemancing tu org panggil anglers la bro...(ke semua org dah tau?) dah nak masuk 5 taun dok kat penang....waaaaahhhhhhh......rindu sesangat ngan kampung halaman!!!!! rindu eh..


pusak lok....

 ok..berbalik pada tajuk heading judul harini...

           MASIH ADA KAH IKAN DI PULAU PINANG??????????

research tentang lubuk wa sudah buat...dah test satu dua tempat...so rajin2 le mentelaah....


 dpt sewa satu pg mancing best ni...huhuhu

 Pulau Pinang merupakan salah satu destinasi pelancongan yang popular di Malaysia. Selain dikunjungi oleh pelancong luar negara, ia juga menjadi tumpuan pelancong tempatan yang gemar menghabiskan masa cuti bersantai bersama keluarga. Siapa tidak pernah mendengar tentang tempat-tempat menarik di sini seperti Pantai Batu Feringgi, Taman Kebun Bunga dan Bukit Bendera yang menggamit seribu kenangan manis. Bagi yang gemarkan acara ‘jalan-jalan cari makan’ mahupun ‘jalan-jalan cari ikan’, Pulau Pinang adalah ‘syurga’ yang harus dilawati.

‘Syurga’ Pemancing

Berkunjung ke Pulau Mutiara tidak akan lengkap bagi kaki pancing jika tidak membawa bersama peralatan pancing. Setelah memuaskan hati isteri dan anak-anak dengan membawa mereka membeli belah dan melawat tempat-tempat menarik, si suami yang gila pancing bolehlah menggunakan kesempatan mood yang baik si isteri untuk memancing sambil atau mencuba lubuk-lubuk baru di perairannya. Bukan sahaja pantai-pantai berbukit dan berbatu yang terdapat di sekeliling Pulau Pinang banyak didiami spesies-spesies bernilai, bahkan lautannya juga menyimpan khazanah yang cukup kaya. Segala keperluan dan kemudahan memancing seperti infrastruktur, bot pancing, tekong yang berpengalaman, lubuk-lubuk popular dan resort-resort memancing dengan harga berpatutan terdapat di sana sini. Pendek kata, Pulau Pinang adalah ‘syurga dunia’ bagi para pemancing.

Gambaran yang negatif

Walaupun dari pelbagai segi Pulau Pinang adalah tempat yang menarik, namun ada juga kecacatannya. Di sebaliknya pantainya yang cantik dan airnya yang jernih, terselindung di sebaliknya pencemaran-pencemaran yang dibawa oleh kerakusan tangan manusia dan arus pembangunan yang tidak terkawal. Baru-baru ini kita dapat membaca di akhbar bagaimana pengurusan sistem pengairan yang tidak cekap dan sensitif telah menyebabkan segala bentuk sisa kotoran dan kumbahan manusia dialirkan terus dari rumah-rumah persendirian dan bangunan-bangunan ke laut dan sungai.

Di sebalik nama-nama pantainya yang gah dan pasir yang memutih, sungai-sungai yang terdapat di Pulau Pinang adalah dianggap yang terkotor dan paling tercemar di Asia Tenggara. Barangkali sinonim dengan nama Ayer Itamnya, sungai-sungai yang mengalir lesu di bandar Georgetown langsung tidak terbela dan tercemar teruk sehingga menghasilkan bau busuk dan warna air yang hitam. Sungai Pinang yang terletak di tengah-tengah bandaraya Georgetown misalnya, walaupun menjadi sumber kehidupan nelayan tetapi hampir tidak dapat dibezakan sangat dengan longkang yang mengalirkan bahan buangan atau sisa kumbahan. Tambahan lagi, pencemaran daripada aktiviti ternakan haiwan dialirkan terus ke sungai tersebut menjadikannya sebagai antara sungai yang paling tercemar dan terbusuk di Malaysia. Ada yang mengatakan bahawa ‘kuman pun tidak boleh hidup di sini’!

Lubuk-lubuk yang terbiar

Gambaran-gambaran negatif yang dibawa dalam media massa pada satu ketika menimbulkan tanggapan bahawa semua sungai di Pulau Pinang telah terjejas teruk dan tidak dapat diselamatkan lagi. Sebut sahaja beberapa sungainya yang utama seperti Sg. Juru, Sg. Rambai dan Sg. Pinang, semuanya telah termasuk dalam kategori sungai yang tidak mungkin ada hidupan yang mampu ‘bahagia’ di dalamnya. Sungguhpun ada usaha tertentu dibuat untuk merawat keadaan air dan mencantikkan semula sungai-sungai tersebut, namun usaha setakat ini sekadar melepaskan batuk di tangga. Sungai-sungai ini masih menjadi tempat pengumpulan bahan buangan dari pelbagai jenis kilang, bangunan, rumah kediaman dan ladang ternakan. Pendek kata, selagi mentaliti pihak berkuasa dan masyarakat tidak diubah, sungai-sungai tersebut tidak mungkin dapat dipulihka atau diselamatkan. 

Gambaran tentang sungai yang kotor dan menjengkelkan mulut dan hidung manusia ini menyebabkan kaki pancing tak berani mendekati, apatah lagi memancing di sungai-sungai ini. Persoalannya kalau kita cuba memancing ada gerenti boleh dapat ikan ke? Bolehkah ikan, ketam atau udang hidup di sungai-sungai ‘berair hitam’ ini yang spesies ikan bandaran bahkan kuman pun dikatakan tidak dapat bertahan di sini? Akibat gambaran yang sangat negatif ini, sungai-sungai di Pulau Pinang tidak terganggu oleh sebarang pukulan teruk dari kaki pancing, kaki tuba dan karan. Maka ia telah tinggal sebagai lubuk-lubuk lesu yang agak terbiar. 

Eksperimen ‘gila-gila’

Barangkali gambaran yang diberikan tentang sungai-sungai tersebut adalah ‘sedikit’ melampau. Walaupun diakui memang tercemar, dan di sesetengah sungai, seakan-akan tak boleh dibezakan sangat dengan longkang, tapi tak semestinya tidak ada sebarang kemungkinan untuk spesies ikan hidup dan berkampung di sungai-sungai itu. Nak tahu kita kenalah mencuba sekali-sekala casting di sini. Mana tahu kot-kot tak dapat ikan, dapat siput atau labi-labi pun kira dah ok. Hehe…

Didesak oleh keinginan untuk mengetahui dan mencuba, dan sedikit kegianan untuk membaling gewang, maka saya bersama beberapa kawan telah memberanikan diri menyumbat hidung, memekakkan telinga dan membutakan segala deria untuk mencuba semua jenis lubuk termasuklah sungai, parit dan longkang yang hitam dan terbiar di Pulau Mutiara. Kerana percaya ikan ada di mana-mana, maka kami dari Utara Anglers Team telah membuat beberapa eksperimen yang sedikit ‘gila-gila’. Jika Longkang Gang terkenal kerana nama longkangnya, kami pula mahu memahat nama sebagai mafia segala jenis lubuk. Lagipun motto team kami ialah ‘Memancing biar sampai termuntah’! Nah inilah cabarannya….

Dari Juru ke Balik Pulau

Kami menjelajah serata pelusuk Pulau Pinang, dari Seberang Prai hinggalah ke Balik Pulau untuk meneroka semua lubuk. Dari parit di Stadium Batu Kawan, terusan air hitam di Junjung Mati, Sg. Juru dan Sg. Rambai di Seberang Prai, menuju ke lubuk yang lebih mencabar di Sg Pinang, longkang di belakang-belakang supermarket dan seterusnya sungai yang lebih jernih airnya mengalir di Bagan Air Itam, Permatang Pasir hinggalah Kuala Sg Pinang, Balik Pulau, kesemuanya telah sempurna dilawati dalam masa tiga hingga empat bulan. 

Eksperimen kami menghasilkan penemuan yang menggembirakan, dan adakalanya mengejutkan dan menghibakan. Di sebalik sungai-sungai yang tercemar dan disangkakan ‘kuman pun mati’ ini, dasarnya masih menyimpan khazanah alam yang cukup berharga buat si pemancing. Haruan, puyu, sepat, keli, talapia, bulan, duri, kacang, kerapu hinggalah kepada spesies yang lebih taksub dengan gewang iaitu siakap putih dan siakap merah, tidak disangka-sangka ‘mengalu-alukan’ kedatangan kami. Siapa sangka di sebalik segala kotoran dan air yang mendap dan tercemar, mereka sebenarnya masih dapat bertahan dan hidup beranak pinak khususnya di kawasan muara-muara sungai. Mereka pula tidak begitu segan untuk membaham gewang dan soft plastic yang kami hulurkan.

Pelahap gewang dan softplastic

Pada mulanya saya tidak begitu yakin dengan eksperimen ini. Lagipun saya ini ‘hantu laut’, bukannya kaki pancing air tawar. Dah berkali-kali saya cuba meluaskan pengetahuan kepada aktiviti memancing air tawar, tetapi jarang mencapai nikmat dan kejayaan. Memancing di kolam pun saya selalu ‘kumpau’. Namun oleh kerana pada musim tengkujuh trip-trip pancing laut tidak dapat diatur, maka terpaksalah saya melepaskan gian melayan ikan-ikan parit dan sungai pula. Lama kelamaan saya mula menyesuaikan diri dan dah buang tabiat… Pantang dalam seminggu saya tak casting, semua kerja pejabat menjadi lesu… Joran dan kekili sentiasa saya sediakan dalam but kereta untuk dikerjakan selepas waktu pejabat. Memang dah kemaruk habis!

Bagi merasai karan, saya hanya menggunakan pancingan berasaskan gewang dan soft plastic sahaja. Pada mulanya, sukar memahami apa yang diminati oleh si ikan, tapi lama kelamaan mendapatkan ragutan bukan lagi menjadi satu masalah. Segala jenis jig head, bulu, soft plastic dan gewang diujikaji dan memang ada yang benar-benar menjadi senjata ampuh memburu spesies ikan. Ikan bulan yang terdapat di Sg. Rambai dan Sg. Juru misalnya berjaya dinaikkan dalam jumlah yang begitu banyak, kadangkala melebihi 20 ekor melalui penggunaan jig bulu ayam, gewang mini jenama LC Wander dan Berkeley soft plastic. Haruan dinaikkan berbelas-belas ekor di beberapa lubuk seperti Sg. Rusa, Permatang Pasir dan beberapa parit terbiar di sekitar Pekan Balik Pulau, walaupun kebanyakan saiznya ‘cinonit’. Semuanya kami tangkap dan lepas. Jelasnya, kami berjaya membuktikan Pulau Pinang masih banyak ikan.

Apa yang paling menarik ialah kejayaan kami menewaskan spesies siakap putih dan siakap merah yang mendiami kawasan sungai-sungai dan parit-parit yang cetek dan airnya tidak mengalir. Ada yang dinaikkan di depan pintu rumah sahaja! Apa yang lebih lucu, penduduk kampung yang tinggal berdekatan pun tak tahu sungai-sungai yang mengalir di tepi rumah mereka mempunyai ikan bernilai seperti siakap dan siakap merah. Apa taknya, siakap menyambar gewang di kedalaman air yang setakat paras betis sahaja! Susah mahu percaya bang!

Sedikit Renungan

Apapun kami akan membawakan kepada anda beberapa episod eksperimen yang telah kami jayakan sepanjang tempoh tiga empat bulan itu. Tujuannya bukan sekadar untuk memaparkan kejayaan dan kebanggaan itu sahaja, tetapi dalam masa yang sama kami ingin menanam sedikit kesedaran ke dalam jiwa para pemancing tentang kepentingan menghargai anugerah alam ini. 

Apapun sungai-sungai yang mengalir lesu di Pulau Pinang itu masih wujud dan menampung sedikit khazanahnya untuk dinikmati oleh kita. Oleh itu, hargailah dan gunakanlah ia sebaik-baiknya. Amalkan segala etika yang dapat memulihara sungai dan kehidupan di dalamnya. Bagi yang diberi amanah dan kuasa sedikit di atas dunia ini, tunaikanlah amanat dan buatlah sesuatu. Sedikit masa lagi tidak ada sesiapapun dapat memastikan apakah sungai-sungai, parit mahupun longkang yang sudah tercemar ini akan terselamat daripada menjadi mangsa kepada kehalobaan kita sendiri. Bayangkanlah pada satu masa nanti perkataan ‘siakap’ atau ‘puyu’ hanya tinggal dalam kamus dan kenangan.


 Jika ingin berkongsi rahsia atau mencuba lubuk-lubuk baru di 
Pulau Pinang, hubungi saya 019-4432979 :ugeek:------------------------------->>>>>>try jgn tak try....best wooo....

1 ulasan:

  1. Artikel yg menarik.. Dan usaha yg diambil utk jalankan eksperimen memancing ditempat yg kononnya dikatakan tiada ikan itu memberi sedikit kesedaran kpd kita yg sungai2 di Pulau Pinang tak la tercemar sehingga ke tahap kuman pun tak leh hidup.. Owner blog aktif lagi dak? Saya ada satu lubuk best punya

    BalasPadam